Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan memang terkenal dengan panggilan orang Minang. Hal ini disebabkan kebanyakannya berasal daripada keturunan orang-orang Minangkabau yang terdapat di Wilayah Minangkabau, Sumatera.

Minangkabau ialah nama bagi sesebuah negeri, orang-orangnya dan juga bahasanya. Tetapi biasanya istilah yang digunakan untuk orang-orang Minangkabau ialah orang Minang.

Masyarakat Minangkabau memang terkenal dengan cara hidup dan adat istiadat yang unik sekali. Dalam amalan Adat Minangkabau ini, harta pusaka, gelaran dan nama suku diturunkan menurut salasilah keturunan di sebelah ibu.

Masyarakat Minangkabau bersifat peramah dan bijak dalam berbicara terutamanya pada upacara-upacara adat yang dilakukan. Mereka menyampaikan sesuatu hal atau hajat secara halus dan cara kiasan, sehingga dalam menerimanya harus pula dengan perasaan yang halus.

Atap rumah dan tutup kepala wanita Minang mempunyai bentuk mirip tanduk kerbau. Menurut kisah lalu bentuk-bentuk ini dapat ditafsirkan oleh kerana eratnya hubungan dengan nama Minangkabau yang dapat disama erti dengan ‘menang kerbau’.

Masyarakat Minangkabau ialah pemeluk agama Islam yang taat dan pemegang adat yang kuat. Hal-hal agama dan adat terpadu secara serasi di dalam cara kehidupan masyarakat seharian dan dijunjung tinggi oleh mereka.

Rombongan orang-orang Minangkabau yang ke Rembau ialah Datuk Lelo Balang, datang dengan pengiringnya dan orang-orang dari Batu Hampar dan Mungkal. Mereka datang ke Rembau, Negeri Sembilan dari Kampung Tigo Nenek. Kemudian satu rombongan orang-orang Minangkabau datang dari Kampung Sari Lemak yang diketuai oleh Datuk Puteh. Datuk Puteh terkenal sebagai seorang pawang, dukun, bomoh atau ahli kebatinan telah memberikan nama kepada tempat bertakhtanya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Nama asal Seri Menanti adalah diambil daripada Padi Menanti. Pertukaran nama dari Padi Menanti ke Seri Menanti adalah disebabkan perkataan Padi dalam bahasa Jawa bererti Seri.

Begitulah asal mula perkembangan gelombang kedatangan orang-orang Minangkabau ke Negeri Sembilan.

 

 ADAT PARPATIAH

Adat Perpatih dianggap merupakan satu sistem kekerabatan yang amat liberal dan menyeluruh. Justeru terdapat beberapa konsep dalam Adat Perpatih ini yang menunjukkan hubungan kekerabatan ini seperti jurai, perut, suku dan sebagainya.

Dalam Adat Perpatih ini terdapat atau terpecahnya kepada 12 kumpulan yang dipanggil Suku. Suku merupakan kumpulan atau kelompok kesatuan zaman dahulu yang berbentuk pengwilayahan yang diberi nama dan dipanggil seperti:1. Suku Biduanda / Waris

2. Suku Batu Hampar

3. Suku Paya Kumbuh

4. Suku Mungkal

5. Suku Tiga Nenek

6. Suku Seri Melenggang

7. Suku Seri Lemak

8. Suku Batu Belang

9. Suku Tanah Datar

10. Suku Tiga Batu

11. Suku Anak Acheh

12. Suku Anak Melaka

Kuasa Undang adalah sangat luas. Dalam menjalankan pentadbiran, Undang mempunyai pembesar, sama ada Besarnya dan/atau Lembaganya. Mereka ini yang menasihatkan Undang dalam pemerintahannya. Ketua bagi setiap suku dipanggil Lembaga dan mempunyai gelaran masing-masing. Lembaga berfungsi sebagai menjadi pentadbir kepada sukunya dan menyelesaikan masalah-masalah yang berhubung dengan adat, harta, penceraian, pertelingkahan dan sebagainya. Jika Lembaga tidak dapat mencari jalan penyelesaian, maka perkara tersebut akan dibawa ke pengetahuan Undang melalui Orang Besar Undang.